klik sini

Klik sini

TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME

1.0 TEORI PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME

Dalam pengajaran, perancangan instruksional harus mengambil kira aspek kognisi dan kaitannya dengan strategi praktikal dalam pembelajaran. Ini memberi asas kepada penyusunan strategi pengajaran yang boleh melibatkan murid mengembangkan kemahiran berfikir supaya pembelajaran bermakna kepada mereka. Dengan itu kefahaman tentang teori pembelajaran akan membantu seorang guru menguasai kemahiran mengajar dengan lebih baik. Ini adalah kerana teori ini mengandaikan setiap individu mempunyai gaya dan cara pembelajaran yang berbeza dan dalam kadar yang pelbagai pula. Justeru perbincangan ini akan menjelaskan secara ringkas dan menyeluruh tentang teori pengajaran yang boleh diaplikasikan oleh guru di bilik darjah.

Menurut Nik Azis Nik Pa, (1999) pula menjelaskan bahawa konstruktivisme adalah satu pandangan bahawa manusia membina pengetahuan sendiri. Ini bermakna sesuatu pengetahuan yang dimiliki oleh seseorang pelajar adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh pelajar berkenaan dan bukan sesuatu maklumat atau pengajaran yang diterima secara pasif daripada luar. Pengetahuan tidak boleh dipindahkan daripada pemikiran seseorang individu kepada pemikiran individu yang lain. Sebaliknya, setiap insan membentuk pengetahuan sendiri dengan mengunakan pengalamannya secara terpilih.

Piaget, (1957) juga turut memberikan definisi teori konstruktivisme. Menurut beliau, pengetahuan boleh dihayati oleh individu melalui konstruktivisme. Melalui proses akomodasi dan asimilasi, individu membentuk pengetahuan baru melalui pengalaman. Manakala bagi (Briner, M. 1999) pula, murid membina pengetahuan mereka dengan menguji idea dan pendekatan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada, mengaplikasinya kepada situasi baru dan mengintegrasi pengetahuan baru yang diperolehi dengan binaan intelektual yang sedia ada.

Jadi berdasarkan definisi yang dikemukakan oleh beberapa tokoh di atas, dapat dirumuskan bahawa teori konstruktivisme merupakan satu pendekatan pembelajaran yang menyediakan peluang kepada pelajar untuk membina kefahaman terhadap perkara yang dipelajari dengan mewujudkan jaringan atau hubungan (dalam minda) antara idea dan fakta yang sedang dipelajari. Oleh itu, konstruktivisme juga dikenali sebagai fahaman ”binaan”.

Ciri-Ciri Teori Konstruktivisme

Teori pembelajaran konstruktivisme adalah salah satu teori pembelajaran yang banyak menekankan penglibatan murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Pembelajaran melalui konstruktivisme boleh dilaksanakan dengan memberi perhatian kepada beberapa aspek seperti berikut:

a) Pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar.

b) Pembelajaran sebagai satu proses dan perkembangannya berhubung kait

c) Pembelajaran dikonstruk dengan adanya kefahaman atau idea asal tentang sesuatu

d) Pengetahuan awal ini sebagai pengetahuan mentah

e) Peluang murid membina pengetahuan baru dengan memahaminya melalui pengalaman yang dilalui

f) Mengambil kira kepercayaan dan sikap yang dibawa oleh murid

g) Menggalakkan dan menerima daya usaha dan autonomi murid

h) Menggalakkan murid bertanya dan berinteraksi (bersoal jawab)

i) Menggalakkan soalan/idea yang dimulakan oleh murid dan menggunakan sebagai panduan merancang pengajaran

Ringkasnya, konstruktivisme adalah satu teori mengenai pengetahuan yang sangat berhubungkait dengan cara seseorang individu membina pengetahuan. Dalam konteks pembelajaran, konstruktivisme mengkaji bagaimana cara dan gaya murid-murid memperolehi ilmu pengetahuan. Konstruktivisme bukan sahaja mengkaji bagaimana murid membina ilmu pengetahuan tetapi juga melibatkan cara perubahan konseptual berlaku dan dapat dilakukan dalam pembelajaran.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
Photography By: mkajunai.net Copyright © 2010 Blogger Template Sponsored by Trip and Travel Guide